Friday, December 12, 2008

INFO: Mengandung Luar Rahim

Assalamualaikum Warahmatullah,

Saya teringat semasa saya masih belajar di fakulti perubatan beberapa tahun lalu, ketika itu saya di dalam sesi klinikal pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Seorang pelajar perempuan Tingkatan 4, masuk ke wad pembedahan akibat sakit perut yang teruk di sebelah abdomen kanan. Dia tidak boleh berdiri tegak dan berjalan. Dia hanya boleh menaiki kerusi roda sahaja.

Ketika masuk di wad bedah dia masih berpakaian sekolah. Kemungkinan sakit ketika di dalam sesi pelajaran di sekolah, dan dibawa ke hospital oleh guru. Apabila ditanya oleh doktor bertugas tentang tarikh periodnya, dia memberitahu baru sahaja mengalami period. Soalan berikutnya adalah mengenai hubungan seks pelajar itu dengan sesiapa di mana pelajar itu menafikan dengan sekeras-kerasnya. Menyedari yang beliau merupakan pelajar sekolah dan berwajah "innocent", diagnosis kemungkinan ialah acute appendicitis (atau org melayu panggil appendiks).

Setelah pakar bedah membuat pemeriksaan, beliau bertanya samada pemeriksaan air kencing untuk mengandung telah dibuat? Tentulah doktor muda itu tidak memeriksanya, maklumlah pelajar perempuan itu masih bersekolah Tingkatan 4, datang period baru-baru ini, menafikan ada apa-apa hubungan seksual dan berwajah "innocent". Pakar bedah itu memberitahu, jangan percaya kepada apa yang dilihat dan diberitahu oleh pelajar perempuan itu. Sepatutnya diagnosis acute appendicitis hanya boleh dibuat setelah kemungkinan untuk mengandung telah diketepikan.

Betul telahannya itu, keputusan air kencing menunjukkan pelajar wanita itu mengandung! Lebih rumit lagi, beliau masih di bawah umur. Bermakna pembedahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan keluarga, iaitu ibu dan ayahnya. Apa drama yang terjadi selepas itu di antara pelajar perempuan itu dengan keluarganya saya tidak tahu kerana dia telah dipindahkan dari wad bedah ke wad sakit puan.

Apa itu Mengandung Luar Rahim?

Apa yang pelajar perempuan itu alami ialah Kandungan Luar Rahim atau "Ectopic Pregnancy". Ia membawa maksud, embrio yang telah dipersenyawakan membesar bukan pada tempatnya iaitu di luar daripada rahim. 98% daripada kandungan luar rahim ini ialah pada kawasan tiub fallopia dan ia dipanggil "Tubal Pregnancy". Yang lain-lain ialah di serviks, di dalam kawasan abdomen (omentum atau peritoneum) dan ovari.

Kenapa Mengandung di Luar Rahim?

Di dalam tiub fallopia mengandungi rerambut halus yang dipanggil CILIA. Ia bergerak seperti penyapu dan akan menolak perlahan-lahan embrio dari kawasan persenyawaan ke arah rahim. Apabila CILIA ini telah rosak maka pemindahan embrio ke dalam rahim secara normal akan terganggu.

Antara risiko dan penyebab mengandung luar rahim ialah :-
1. Jangkitan di sekitar pelvis oleh kuman-kuman seperti gonorrheoa atau Chlamydia. Kuman ini akan menyebabkan kerosakan pada dinding tiub fallopia yang menyebabkan parut. Ini juga menyebabkan dinding fallopia menghadapi kerosakan dan kehilangan CILIA.

2. Pembedahan sebelum ini pada kawasan tiub fallopia seperti pembedahan rekonstruktif tiub atau "ikat tiub" boleh merosakkan struktur tiub fallopia.

3. Pernah mengalami mengandung luar rahim sebelum ini. Terdapat kajian yang menyatakan risiko mengandung luar rahim semula adalah 15% sekiranya berulang kali pertama dan 30% untuk kali kedua.

4. Pemakaian Alat Dalam Rahim atau IUD mempunyai risiko untuk mengandung luar rahim. Walaupun begitu jumlah kes keseluruhannya adalah sangat rendah, kerana fungsi alat ini yang menghalang kehamilan.

5. Kecacatan tiub fallopia sejak lahir.

6. Kajian juga menunjukkan, MEROKOK ketika persenyawaan berlaku mempunyai kaitan utama untuk mengandung di luar rahim.

7. Ketumbuhan dan penyakit seperti tumor atau endometriosis boleh mengganggu pergerakan embrio dan menyebabkan masalah ini berlaku.

Gejala Mengandung Luar Rahim

Apabila seorang wanita di dalam jangka umur subur datang dengan sakit perut yang teruk, di sebelah kiri atau kanan bahagian bawah, maka mengandung luar rahim perlu diketepikan. Ini adalah kerana mengandung luar rahim boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut dan boleh menyebabkan kematian.

Selain daripada sakit perut, pendarahan pada vagina yang seolah-olah datang period boleh mengkaburi pesakit kononnya mana mungkin mengandung kalau datang period. Sedangkan ia bukan lah period tetapi pendarahan akibat mengandung luar rahim.

Beliau juga mungkin boleh mengalami tanda2 awal mengandung seperti terasa ngilu pada buah dada dan puting, pening dan loya atau muntah-muntah beberapa hari sebelum itu.

Sekiranya pendarahan terlalu banyak di dalam perut, pesakit akan mengalami pening-pening, rasa lemah badan, perut menjadi keras, sakit pinggang dan belakang dan boleh pengsan.

Bagaimana Diagnosis Dibuat?

1. Selain daripada sejarah pesakit, Pemeriksaan dengan memasukkan dua jari ke dalam vagina menunjukkan kesakitan pada serviks, dan bengkakan pada sekitar dinding vagina berhampiran serviks
2. Kehadiran hormon HCG pada air kencing ataupun darah boleh diperiksa.
3. Ultrasound abdomen menunjukkan tiada kantung kandungan di dalam rahim
4. Transvaginal Ultrasound adalah kaedah paling berguna - boleh menunjukkan pembengkakan di dalam tiub fallopia, kandungan rahim yang kosong dan pendarahan.

Apakah info;

Buat masa ini dua cara utama perawatan di Malaysia ialah melalui pembedahan samada Laparoskopi atau Laparotomi. Laparoskopi lebih banyak digunakan sekarang kerana ia tidak memerlukan pembedahan besar. Ia cuma menebuk tiga lubang kecil di perut di mana 3 alat dimasukkan melalui lubang. Pakar boleh melihat masalah yang berlaku melalui alat ini dan pembedahan kecil boleh dilakukan tanpa membuka perut pesakit.

Walaupun begitu, had nampak laparoskopi adalah terbatas. Sekiranya pendarahan terlalu banyak sehingga menghalang penglihatan atau pendarahan tidak boleh dikawal, maka option untuk menukar ke pembedahan terbuka dilakukan. Pada kebiasaanya, tiub yang rosak akan diikat dan dibuang. Proses ini dipanggil salphingectomy.

Salam... Posted by Dr Azwan

No comments:

Post a Comment