Sunday, December 21, 2008

jenaka: ayam dn jagung

Seorang lelaki sakit mental menganggap dirinya adalah jagung dan
terlalu takut dengan ayam. Jika ternampak haiwan itu, dia akan lari lintang
pukang kerana menyangka ayam akan memakannya. Akhirnya, lelaki tu
dimasukkan ke rumah sakit jiwa. Setelah beberapa bulan, doktor pun melakukan ujian
ke atas lelaki itu bagi mengenal pasti apakah dia telah pulih ataupun
tidak.

Doktor : Adakah kamu tahu siapa diri kamu sekarang?

Lelaki : Ya, doktor.

Doktor : Siapa kamu sebenarnya.

Lelaki : Saya ini manusia, doktor.

Doktor : Ya ke? Bukan jagung?

Lelaki : Bukan, saya manusia, doktor.

Doktor : Kamu takut dengan ayam?

Lelaki : Tidak, doktor.

Doktor : Hmm..bagus. Nampaknya kamu dah sembuh.

Lelaki : Tapi doktor, saya ada satu pertanyaan.

Doktor : Apa dia?

Lelaki : Ayam tahu tak yang saya ni dah berubah jadi manusia?

Doktor : !@#$^ lor...

sopan itu cantik

http://img120.imageshack.us/img120/6582/sopanitucantikao6.jpg

Wednesday, December 17, 2008

ERTI KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA

ERTI KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA

Dalam diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di dalam hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah rasa kasih sayang.

Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain. Atau kepada selain manusia yakni benda-benda dan makhluk-makhluk lain. Atau hati manusia juga boleh jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini jarang berlaku.

Di sini kita hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia. Sebab ianya utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka mesti cintakan ALLAH yang memang lebih utama dan agung.

Jadi fokus utama untuk dihuraikan secara lebih luas ialah tentang cinta sesama manusia. Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang mendalam oleh seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya. Iaitu kerana ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan hatinya. Daya tarikan itu ada berbagai-bagai.

Ada yang bersifat semulajadi dan ada yang bersifat `aradhi' (mendatang). Di antara perkara-perkara yang menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana faktor-faktor inilah manusia tertarik dengan manusia yang lain. Maka tumbuhlah rasa kasih sayang sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila rasa itu kian mendalam, ia disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam, seseorang itu akan jadi asyik mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang, kerana tidak boleh lagi kontrol cintanya, terus menjadi gila.

Dengan perasaan kasih sayang, seseorang akan menumpukan perhatian, perasaan dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya. Bermacam-macam pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada rasa susah padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun orang lain melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita sanggup lari meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon suaminya. Dia rela menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai maka sifat dan kesan kasih itu juga berbeza-beza. Bergantunglah kepada siapa dan mengapa kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama dengan kasih pada isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama dengan kasih pada kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada saudara-mara. Kasih pada pemimpin tidak sama dengan kasih pada pengikut. Kasih pada bangsa tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih pada agama tidak sama dengan kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang menciptakan dalam ruang seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang berbagai sifat dan rupanya!

Akibat berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat kasih itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia tidak diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan berkurang dan mungkin hilang. Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih serta jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat bertanggungjawab. Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia taat, patuh dan melayan suami sesungguh hati. Kasih pada guru membuatkan murid gigih belajar dan mengamalkan ajarannya. Manakala kasih pada murid menjadikan guru-guru hilang letih untuk mendidik dan mengajar hingga muridnya berjaya. Kasih pada ibu bapa membuatkan anak-anak sangat menjaga hati orang tuanya. Manakala kasih kepada anak-anak menjadikan ibu bapa rela berbuat apa saja untuk anak-anaknya.

Demikianlah kesan adanya kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti terikat satu sama lain. Lalu akan saling memberi dan menerima secara suka dan rela. Orang yang saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak dapat memberi kasih sayang walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban dan bersusah-susah untuk yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan dan hiburan.

Sedangkan tanpa kasih sayang, pengorbanan dibuat secara terpaksa, menjadikan ia amat berat dan menyeksakan manusia. Seorang murid yang buat kerja guru dengan rasa cinta pada guru, akan membuatnya dengan sepenuh hati, ghairah dan bahagia. Dia tidak jemu dan tidak letih. Dia akan berbuat lebih dari yang diperintahkan. Sebaliknya murid yang buat kerja guru dalam keadaan terpaksa, sedangkan dia benci pada guru itu, akan rasa berat dan jemu. Al hasil, kerjanya jadi tidak sempurna.

Demikianlah juga keadaan rakyat terhadap pemerintah, pengikut terhadap pemimpin dan sebaliknya. Begitu jugalah isteri terhadap suami, anak-anak terhadap ibu bapa dan manusia terhadap manusia lainnya.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa cinta dan kasih para Sahabat yang sungguh mendalam terhadap Rasulullah SAW dan sebaliknya, telah membuatkan mereka berjuang dan berkorban habis-habisan. Hingga nyawa pun sanggup dikorbankan demi cinta. Al hasil dalam tempoh yang sekejap sahaja, Islam telah membentuk negara dan empayar kepada tiga perempat dunia.

Demikian bukti bahawa dengan cinta, manusia rela mengorbankan lebih masa dan tenaga hingga memperolehi hasil yang luar biasa. Sedangkan tanpa cinta, sesuatu kerja itu dibuat dengan sambil lewa dan hasilnya mengecewakan! Sebab itu kita mesti pandai mengisi ruangan daripada rasa kasih sayang dan cinta ini. Ia sangat besar manfaatnya kepada kehidupan manusia. Kita patut usahakan agar tumbuh kasih sayang sesama manusia supaya buahnya yang lebat lagi manis itu dapat kita kecapi bersama.

Tapi sayang sekali hari ini, dunia sudah ketandusan kasih sayang. Orang miskin tidak sayang pada orang kaya, rakyat tidak sayang pada raja atau ketua negaranya, masyarakat tidak sayang pada ulama, bahkan anak-anak tidak sayangkan ibu bapa dan isteri tidak menyayangi suami. Benci-membenci jadi budaya tradisi yang membuatkan manusia terhina dengan segala bentuk krisis dan masalah sesamanya. Kakitangan pejabat mencaci-caci boss mereka di belakangnya. Orang politik dimaki hamun oleh pengundinya, ulama dihina-hina oleh masyarakat, menteri-menteri dimusuhi oleh berbagai lapisan masyarakat dan jadi bahan bualan yang negatif.

Demikian seterusnya yang berlaku dalam realiti hidup hari ini akibat tidak adanya sifat-sifat yang cantik untuk membuat manusia saling jatuh hati dan sayang-menyayangi. Mana kasih sayang pengikat perpaduan manusia? Mana keharmonian hidup, ketenangan serta kepuasan? Kita rindu untuk melihat orang kaya mengasihi orang miskin dan si miskin membalas kasih si kaya. Hinggakan mereka bekerjasama dengan penuh harmoni dan mesra.

Kita juga rindukan pemimpin yang memberi kasih kepada pengikut dan sebaliknya. Dan kita ingin melihat orang bukan Islam kasih pada orang Islam dan sebaliknya! Ya, kita ingin melihat dunia kembali damai, aman, harmoni dan makmur dengan wujudnya kasih sayang sesama manusia. Untuk itu mari kita cetuskan sebab-sebab untuk orang lain, sekalipun bukan sebangsa dan seagama apa lagi kalau sekeluarga dan seagama, agar cenderung dan jatuh hati pada kita. Bila masing-masing mengusahakannya, maka kita pun menyayangi dan disayangi.

Dari sana, moga-moga impian dan kerinduan kita menjadi kenyataan! Kesilapan manusia hari ini, di samping membiarkan rasa benci-membenci terus subur, tidak pula mengusahakan untuk sayang-menyayangi. Sebaliknya lebih mengalih perhatian kepada benda dan makhluk-makhluk yang lain. Melupakan tanggungjawab untuk membina kasih sayang sesama manusia. Kemudian mencari jalan lain untuk menjauhkan lagi dan tanggungjawab tersebut. laitu mengalih perhatian dan kasih sayang kepada benda-benda, pokok-pokok, binatang, barang-barang antik dan sebagainya.
Benda-benda kecintaan ditatang-tatang, dibelek-belek dan dijaga sungguh-sungguh. Binatang kesayangan dibelai-belai, dilayan dan dikawal hingga dibuat undang-undang, sesiapa yang membunuh binatang didenda. Barang-barang antik dipuja-puja dan dijaga di muzium-muzium dan lain-lain dengan istimewa sekali. Begitu juga pokok-pokok dan bunga hiasan, begitu disayangi dan dari semasa ke semasa rasa sayang itu disuburkan! Memang tidak ada salahnya perkara-perkara itu.

Tapi apalah ertinya kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan. Maksudnya, tanggungjawab yang asasi dan penting diabaikan, sebaliknya dibuat kerja-kerja yang tidak penting. Ibarat orang menghidangkan kita berbagai macam laukpauk, tetapi tidak disertakan nasi. Apa perasaan kita? Apa ertinya pokok di hutan tidak dipotong tetapi badan manusia dipotong dan dibunuh? Pokok-pokok, benda-benda, barang antik dan binatang kalau tidak disayangi dan tidak diberi perhatian, tidak memberi kesan negatif pada kita. Tetapi anak-anak yang tidak dapat kasih sayang akan jadi penyakit masyarakat.Orang miskin yang terbiar tanpa diberi simpati akan buat masalah dalam masyarakat. Orang yang bukan seagama dan sebangsa yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang akan mencari pasal untuk membalas dendam dan geram.

Demikian kalau manusia tidak berkasih sayang, kesannya sungguh negatif dan bahaya sekali. Dunia hari ini begitu ketandusan kasih sayang. Keadaannya genting sekali. Manusia saling benci-membenci iaitu kebalikan dari berkasih sayang. Akibatnya masing-masing saling mencari jalan untuk menyusahkan orang lain. Masing-masing saling berprasangka dan saling mencurigai. Paling tidak, saling tidak mempedulikan dan tidak ambil tahu. Usaha-usaha untuk mengatasinya hampir-hampir tidak ada sama sekali. Kalaupun ada, tidak berkesan. Kerana caranya tidak tepat dan tidak membawa kesan yang berkekalan.

Sunday, December 14, 2008

INFO; Kenapa perlu minum air?

"Tubuh terdiri drpd hampir 70 peratus cairan dan kita hanya blh bertahan selama kira-kira stu minggu hidup tanpa air. Tetapi mengapa air itu baik utk tubuh? Di sini disenarikan lima alsannya:

1.Air blh menyejukkan

Waktu tghari yg begitu panas kadangkala kita tdk sedar bahawa tubuh kita sdg berpeluh. Peluh blh mengingatkan kita utk segera minum air. Sbb jika tdk cukup air utk memproduksikan peluh, volume darah akan menurun sehingga sistem sirkulasi akan bermasalah. Kesannya antara lain, pening dan mengalami kesukaran bernafas.


2.Mengumpulkan zat2 makanan

Air membantu memindahkan zat-zat makanan melaui aliran darah ke pelbagai bahagian tubuh, mengikut keperluan bahagian itu sendri. Juga beberapa zat makanan yg larut dlm air sehingga diserap dgn air.


3.Mempermudah proses pembuangan Jika seseorang itu kekurangan air dalam badan, maka akan mudah menjadi sembelit. Sembelit blh menyebabkan org sukar mebuang air besar kerana najis mengeras. Ia sekali gus menyebabkan anggota ter****t mengalami kesakitan.

4.Menjaga kulit tetap halus

Sel memang mengandungi air, krn itu bekalan yg cukup akan menjadikan kulit kite lebih halus dan sihat. Kekurangan air bukan sahaja membuat kulit menjadi kusam dan bersisik tetapi juga , seseorang itu cenderung kelihatan lesu dan jika terjadi cirit birit, mereka aklan kelihtan lebih uzur.


5.Bebas dari batu karang

Batu karang terjadi sewaktu sisa badan yg tdk terpakai atau komponen lain yg melalui ginjal atau buah pinggang bergabung dgn bahan buangan lain. Jika kekurangan air dalam tubuh, maka akan terbentuklah batu kecil seperti pasir dan tumbuh sebsar baru. Jika kita byk minum, batu-batu itu akan keluar di bawa oleh air.
Sesetengah org menunggu hingga betul-betul dahaga baru mereka minum segelas air sdgkan sebnarnya haus adalah petanda awal drpd dehidrasi kekurangan cairan dlm badan.

Saturday, December 13, 2008

PEDOMAN : Cinta, kekayaan, kecantikan, kesedihan, kegembiraan...

Alkisah di suatu pulau kecil, tinggallah berbagai macam benda-benda

abstrak: ada CINTA, KEKAYAAN,KECANTIKAN, KESEDIHAN, KEGEMBIRAAN dan sebagainya. Awalnya mereka hidup berdampingan dengan baik dan saling melengkapi. Namun suatu ketika, datang badai menghempas pulau kecil itu dan air laut tiba-tiba naik semakin tinggi dan akan menenggelamkan pulau itu. Semua penghuni pulau cepat-cepat berusaha menyelamatkan diri.


CINTA sangat kebingungan sebab ia tidak dapat berenang dan tak mempunyai perahu. Ia berdiri di tepi pantai mencuba mencari pertolongan. Sementara itu air makin naik membasahi kaki CINTA. Tak lama CINTA melihat KEKAYAAN sedang mengayuh perahu."KEKAYAAN! KEKAYAAN! Tolong aku!" teriak CINTA.


Lalu apa jawab KEKAYAAN, "Aduh! Maaf,CINTA!" kata KEKAYAAN. "Perahuku telah penuh dengan harta bendaku. Aku tak dapat membawamu serta, nanti perahu i! ni tenggelam. Lagipula tak ada tempat lagi bagimu di perahuku ini." Lalu KEKAYAAN cepat-cepat mengayuh perahunya pergi meninggalkan CINTA tenggelam.



CINTA sedih sekali, namun kemudian dilihatnya KEGEMBIRAAN lewat dengan perahunya. "KEGEMBIRAAN! Tolong aku!", teriak CINTA. Namun apa yang terjadi, KEGEMBIRAAN terlalu gembira karena ia menemukan perahu sehingga ia tuli tak mendengar teriakan CINTA. Air makin tinggi membasahi CINTA sampai ke pinggang dan CINTA semakin panik.


Tak lama lewatlah KECANTIKAN.

"KECANTIKAN! Bawalah aku bersamamu!", teriak CINTA. Lalu apa jawab

KECANTIKAN, "Wah, CINTA, kamu basah dan kotor.Aku tak bisa membawamu ikut. Nanti kamu mengotori perahuku yang indah ini." sahut KECANTIKAN. CINTA sedih sekali mendengarnya. CINTA mulai menangis terisak-isak. Apa kesalahanku, mengapa semua orang melupakan aku.

Saat itu lewatlah KESEDIHAN. Lalu CINTA memelas, "Oh, KESEDIHAN, bawalah aku bersamamu", kata CIN! TA. Lalu apa kata KESEDIHAN, "Maaf, CINTA. Aku sedang sedih dan aku ingin sendirian saja... ", kata KESEDIHAN sambil terus mengayuh perahunya.


CINTA putus asa. Ia merasakan air makin naik dan akan menenggelamkannya. CINTA terus berharap kalau dirinya dapat diselamatlkan. Lalu ia berdoa kepada Tuhannya, oh tuhan tolonglah aku, apa jadinya dunia tanpa aku, tanpa CINTA?



Pada saat kritis itulah tiba-tiba terdengar suara, "CINTA! Mari cepat naik ke perahuku!" CINTA menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang tua reyot berjanggut putih panjang sedang mengayuh perahunya. Lalu Cepat-cepat CINTA naik ke perahu itu, tepat sebelum air menenggelamkannya.


Kemudian di pulau terdekat, orang tua itu menurunkan CINTA dan segera pergi lagi. Pada saat itu barulah CINTA sadar, bahwa ia sama sekali tidak mengetahui siapa orang tua yang baik hati menyelamatkannya itu. CINTA segera menanyakannya kepada seorang penduduk tua di pulau itu, siapa sebenarnya orang tua itu."Oh, orang tua tadi? Dia adalah "WAKTU", kata orang itu. Lalu CINTA bertanya "Tapi, mengapa ia menyelamatkanku? Aku tak mengenalnya. Bahkan teman-teman yang mengenalku pun enggan menolongku", tanya CINTA heran. "Sebab", kata orang itu, "hanya WAKTU lah yang tahu berapa nilainya harga sebuah CINTA itu... ...



Friday, December 12, 2008

INFO: Mengandung Luar Rahim

Assalamualaikum Warahmatullah,

Saya teringat semasa saya masih belajar di fakulti perubatan beberapa tahun lalu, ketika itu saya di dalam sesi klinikal pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Seorang pelajar perempuan Tingkatan 4, masuk ke wad pembedahan akibat sakit perut yang teruk di sebelah abdomen kanan. Dia tidak boleh berdiri tegak dan berjalan. Dia hanya boleh menaiki kerusi roda sahaja.

Ketika masuk di wad bedah dia masih berpakaian sekolah. Kemungkinan sakit ketika di dalam sesi pelajaran di sekolah, dan dibawa ke hospital oleh guru. Apabila ditanya oleh doktor bertugas tentang tarikh periodnya, dia memberitahu baru sahaja mengalami period. Soalan berikutnya adalah mengenai hubungan seks pelajar itu dengan sesiapa di mana pelajar itu menafikan dengan sekeras-kerasnya. Menyedari yang beliau merupakan pelajar sekolah dan berwajah "innocent", diagnosis kemungkinan ialah acute appendicitis (atau org melayu panggil appendiks).

Setelah pakar bedah membuat pemeriksaan, beliau bertanya samada pemeriksaan air kencing untuk mengandung telah dibuat? Tentulah doktor muda itu tidak memeriksanya, maklumlah pelajar perempuan itu masih bersekolah Tingkatan 4, datang period baru-baru ini, menafikan ada apa-apa hubungan seksual dan berwajah "innocent". Pakar bedah itu memberitahu, jangan percaya kepada apa yang dilihat dan diberitahu oleh pelajar perempuan itu. Sepatutnya diagnosis acute appendicitis hanya boleh dibuat setelah kemungkinan untuk mengandung telah diketepikan.

Betul telahannya itu, keputusan air kencing menunjukkan pelajar wanita itu mengandung! Lebih rumit lagi, beliau masih di bawah umur. Bermakna pembedahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan keluarga, iaitu ibu dan ayahnya. Apa drama yang terjadi selepas itu di antara pelajar perempuan itu dengan keluarganya saya tidak tahu kerana dia telah dipindahkan dari wad bedah ke wad sakit puan.

Apa itu Mengandung Luar Rahim?

Apa yang pelajar perempuan itu alami ialah Kandungan Luar Rahim atau "Ectopic Pregnancy". Ia membawa maksud, embrio yang telah dipersenyawakan membesar bukan pada tempatnya iaitu di luar daripada rahim. 98% daripada kandungan luar rahim ini ialah pada kawasan tiub fallopia dan ia dipanggil "Tubal Pregnancy". Yang lain-lain ialah di serviks, di dalam kawasan abdomen (omentum atau peritoneum) dan ovari.

Kenapa Mengandung di Luar Rahim?

Di dalam tiub fallopia mengandungi rerambut halus yang dipanggil CILIA. Ia bergerak seperti penyapu dan akan menolak perlahan-lahan embrio dari kawasan persenyawaan ke arah rahim. Apabila CILIA ini telah rosak maka pemindahan embrio ke dalam rahim secara normal akan terganggu.

Antara risiko dan penyebab mengandung luar rahim ialah :-
1. Jangkitan di sekitar pelvis oleh kuman-kuman seperti gonorrheoa atau Chlamydia. Kuman ini akan menyebabkan kerosakan pada dinding tiub fallopia yang menyebabkan parut. Ini juga menyebabkan dinding fallopia menghadapi kerosakan dan kehilangan CILIA.

2. Pembedahan sebelum ini pada kawasan tiub fallopia seperti pembedahan rekonstruktif tiub atau "ikat tiub" boleh merosakkan struktur tiub fallopia.

3. Pernah mengalami mengandung luar rahim sebelum ini. Terdapat kajian yang menyatakan risiko mengandung luar rahim semula adalah 15% sekiranya berulang kali pertama dan 30% untuk kali kedua.

4. Pemakaian Alat Dalam Rahim atau IUD mempunyai risiko untuk mengandung luar rahim. Walaupun begitu jumlah kes keseluruhannya adalah sangat rendah, kerana fungsi alat ini yang menghalang kehamilan.

5. Kecacatan tiub fallopia sejak lahir.

6. Kajian juga menunjukkan, MEROKOK ketika persenyawaan berlaku mempunyai kaitan utama untuk mengandung di luar rahim.

7. Ketumbuhan dan penyakit seperti tumor atau endometriosis boleh mengganggu pergerakan embrio dan menyebabkan masalah ini berlaku.

Gejala Mengandung Luar Rahim

Apabila seorang wanita di dalam jangka umur subur datang dengan sakit perut yang teruk, di sebelah kiri atau kanan bahagian bawah, maka mengandung luar rahim perlu diketepikan. Ini adalah kerana mengandung luar rahim boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut dan boleh menyebabkan kematian.

Selain daripada sakit perut, pendarahan pada vagina yang seolah-olah datang period boleh mengkaburi pesakit kononnya mana mungkin mengandung kalau datang period. Sedangkan ia bukan lah period tetapi pendarahan akibat mengandung luar rahim.

Beliau juga mungkin boleh mengalami tanda2 awal mengandung seperti terasa ngilu pada buah dada dan puting, pening dan loya atau muntah-muntah beberapa hari sebelum itu.

Sekiranya pendarahan terlalu banyak di dalam perut, pesakit akan mengalami pening-pening, rasa lemah badan, perut menjadi keras, sakit pinggang dan belakang dan boleh pengsan.

Bagaimana Diagnosis Dibuat?

1. Selain daripada sejarah pesakit, Pemeriksaan dengan memasukkan dua jari ke dalam vagina menunjukkan kesakitan pada serviks, dan bengkakan pada sekitar dinding vagina berhampiran serviks
2. Kehadiran hormon HCG pada air kencing ataupun darah boleh diperiksa.
3. Ultrasound abdomen menunjukkan tiada kantung kandungan di dalam rahim
4. Transvaginal Ultrasound adalah kaedah paling berguna - boleh menunjukkan pembengkakan di dalam tiub fallopia, kandungan rahim yang kosong dan pendarahan.

Apakah info;

Buat masa ini dua cara utama perawatan di Malaysia ialah melalui pembedahan samada Laparoskopi atau Laparotomi. Laparoskopi lebih banyak digunakan sekarang kerana ia tidak memerlukan pembedahan besar. Ia cuma menebuk tiga lubang kecil di perut di mana 3 alat dimasukkan melalui lubang. Pakar boleh melihat masalah yang berlaku melalui alat ini dan pembedahan kecil boleh dilakukan tanpa membuka perut pesakit.

Walaupun begitu, had nampak laparoskopi adalah terbatas. Sekiranya pendarahan terlalu banyak sehingga menghalang penglihatan atau pendarahan tidak boleh dikawal, maka option untuk menukar ke pembedahan terbuka dilakukan. Pada kebiasaanya, tiub yang rosak akan diikat dan dibuang. Proses ini dipanggil salphingectomy.

Salam... Posted by Dr Azwan

Thursday, December 11, 2008

TIPS: Cinta Suami Isteri

TIPS CINTA SUAMI ISTERI

1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

19. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.

TAZKIRAH : Masih belum terlewat ...

Kenapa suka cium anak?

Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak anda boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak. Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama.

Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan.

Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.”

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail .

Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti?”
Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.”
Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.”
Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

CERPEN : Jangan Tinggal Solat

Rashid melipat sejadah. Dia baru saja menunaikan solat Asar berimamkan bapa mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari dia bercuti di kampung. Esok dia harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah bersalaman dengan ibu dan bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta diri untuk pulang.

Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu meluncur di jalan raya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 2 jam..Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu. Mungkin belum rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Rashid tidak memikirkan sangat soal zuriat kerana perkahwinan mereka masih muda. Lagipun mereka berdua sama-sama bekerja. Cadangnya setelah ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah merancang untuk menerima cahaya mata.

Hampir sejam berlau, Rashid membelok memasuki lebuhraya. Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang membuatkan cuaca lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid tersenyum. Zakiah sudah terlena.
Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30 malam, Zakiah membuka mata.
Dilirik wajah suaminya sepintas lalu. Sudah masuk waktu Maghrib. Kalau tidak dingatkan, pasti suaminya tidak akan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib.

"Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap." Wajah Rashid kelihatan keruh.
Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan isterinya. Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu. Hanya di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri, Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya, sudah puas dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.

Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok masuk ke tempat rehat. Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan solat Mahgrib. Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta Atau membasahkan tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan kenderaan.

Rashid tidak menemui ruang untuk memarkir kereta. Dia Menghentikan kereta, meminta Zakiah turun.

"Abang tak turun sekali?" tanya Zakiah penuh harapan.
"Kiah pergilah... abang tunggu kat sini. Tak ada parking," jawab Rashid mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg berisi telekung, Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia terlelap seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta. Perjalanan diteruskan.

"Abang tidur?" tegur Zakiah.
"Ha... terlelap sekejap. Letih rasa badan ni."
"Kalau abang letih, biar Kiah bawak."
"Tak apa... kalau tak tahan sangat Kiah bawaklah nanti." Zakiah tidak membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat. Hujan mulai turun membasahi jalan. Rashid memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan jalan licin mengundang risiko. Namun malang tidak berbau. Rashid sudah berhati-hati tetapi ada pemandu lain yang kurang memikirkan keselamatan diri dan orang lain. Secara tiba-tiba Rashid merasakan sesuatu merempuh bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat kedengaran. Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum menghempas jalan dengan bahagian atas ke bawah.

Apabila sudah menyedari apa yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya tersepit sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.

"Ya Allah... selamatkan kami... " bisiknya perlahan. Terasa mukanya basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang membantu. Mengeluarkan Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi usaha mereka gagal kerana kaki Rashid tersepit.
"Tersepit... tak boleh tarik... Kena tunggu bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital." Rashid berdoa dan berdoa tanya henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan dirinya.

"Bertahan, encik. Kami sudah memanggil bomba!" Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang sewajarnya. Boleh dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun dia gagal untuk menggerakkannya.

"Tolong saya, encik... " pinta Rashid dengan nada sayu.
"Mengucap... cik... berdoa kepada Allah... cik akan selamat."
"Sabar encik... tak lama lagi pasukan penyelamat akan sampai." Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk telinganya.Dengan keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu membantu.Syukur. Pandangannya tertunpu pada seorang lelaki yang memakai jubah serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit sambil tangannya memegang tasbih.
"Ya Allah... selamatkanlah aku... "

Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan sudah tiba.Pasukan bomba dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk mebebaskan Rashid dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana menjadi sunyi apabila salah seorang anggota bomba bersuara.
"Kakinya tak tersepit apa-apa. Pelik... kenapa tak boleh keluar?" Usaha untuk mengeluarkan Rashid terhenti. Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu menarik Rashid keluar, sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya.
Rashid sendiri kebingungan. Bencana apa yang sedang menimpanya. "Ini bukan kerja manusia macam kita... kena panggil orang yang tahu... "
terdengar sebuat pendapat. Rashid semakin gementar. Doanya tidak putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak tersentak melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.

"Tuan... tolong saya tuan... "
"Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa hanyalah Allah Taala... "
"Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah saya, tuan... "
"Kamu berdoa kepada siapa?" Rashid terdiam. Aneh bunyi pertanyaan lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan bukan tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti orang alim.
"Sudah tentulah pada Allah."
"Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!"

Rashid tidak mampu hendak menggerakkan sebarang anggota. Kalau tidak, sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu. Nampak saja alim, tetapi bercakap seperti orang yang tidak berilmu.

"Bukankah selama ini kamu tak pernah menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang di depan mentua kamu. Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah ingat pada Allah. Tidakkah kamu malu meminta pertolongan dari Allah.
Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari mentua kamu!" Tenggorok Rashid terasa amat kering. Dia ingin bersuara, memohon ampun atas kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada suara yang keluar.

Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian bangun dan meninggalkan Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan bahawa dia menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan kesakitan mula terasa.Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak mampu bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri.

"Abang... bang! Abang!!"

Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya memenuhi pandangan. Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.

"Sedapnya tidur... naik serak suara Kiah mengejutkan abang... "

Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia memandang sekeliling. Ya Allah!
Dia masih berada di tempat rehat.

"Kiah tunggu sekejap... abang nak solat Mahgrib!" kata Rashid sambil terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah tercengang, senyuman merekah di bibirnya.

Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :- "ALLAH
S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS
SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID,
KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN
PADA WAKTU TENGAH MALAM".

Wednesday, December 10, 2008

INFO : Asal Hajarul Aswad putih

Asal Hajarul Aswad putih



SETIAP tahun, apabila tiba musim haji, lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia bertamu di kota suci Makkatul Mukarramah, menyahut seruan Ilahi bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu.

Dalam ibadat itu, jemaah melakukan pelbagai ritual ibadat mengikut tertib, seperti tawaf, sai dan bercukur, dengan kemuncaknya melakukan wukuf di padang Arafah, yang jatuh pada 9 Zulhijjah.

Baitullah disebut juga Kaabah, yang terletak di tengah kota suci itu. Ia menjadi tumpuan utama pada musim haji, khususnya dalam pelaksanaan tawaf, dengan setiap jemaah mengelilinginya sebanyak tujuh kali.

Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.

Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.

"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia." (Ali-Imran: 96)

Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:

"Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun."

Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (al-Baqarah:127)

Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.

Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: "Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu."

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.

Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam."

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.

Selamat datang...

Assalamulaikum... dan salam sejahtera...



Kisahkita2008 ...
mengucapkan
&&&Selamat Datang&&& ke blog baru ini. Blog ini dibina khas untuk membincangkan hal-hal kemasyarakatan, kehidupan dan keagamaan. Ia juga adalah kesinambungan dari yahoogroups kisahkita2008

Blog ini tidak dibina untuk membincangkan hal-hal politik secara serius, namun anda boleh menyelitkannya dalam artikal yang anda bincangkan sahaja.


Sebarang iklan hanya dibenarkan dihantar pada hari RABU sahaja. Manakala iklan yang dihantar pada hari2 selain RABU akan didelete sahaja.

Setiap artikal yang dihantar perlulah mengikut prosedur seperti di bawah:

1. Tuliskan di kotak subjek - Sosial, Iklan, Agama, Tazkirah, Resepi, Sakit Puan, Motivasi dsb.

2. Penulisan yang menggunakan bahasa yang tidak sopan akan didelete.

3. Kami juga mempelawa sahabat untuk bersama menulis di dalam blog ini. Sekiranya sahabat berminat berkongsi rasa, berkongsi cerita untuk kita sama-sama hadamkan sila e.mailkan kepada : kisahkita2008@yahoo.com untuk kami invite sebagai member blog.


Sekian. Terima kasih.

Ikhlas dari : kisahkita2008